ARKIB : 31/05/2003
Oleh A. JAILANI ABDULLAH
DUA ketua pasukan, B. Rajnikandh
dari Negeri Sembilan (kiri) dan Mohd. Khairunnisam Sahabuddin dari Perlis
bersalaman sebagai tanda semangat kesukanan menjelang perlawanan akhir bola
sepak Piala FA di Stadium Perak, Ipoh malam ini. - Gambar ZAKI AMIRUDDIN.
KEGIGIHAN ketika berdepan laluan
getir dan kemampuan menundukkan pasukan pilihan dalam saingan awal menjadi
faktor utama Perlis dan Negeri Sembilan mencipta sejarah buat pertama kali
beraksi dalam perlawanan akhir bola sepak Piala FA di Stadium Perak, Ipoh malam
ini.
Semua faktor tersebut menjadikan
Perlis dan Negeri Sembilan semakin matang dalam menghadapi kerenah bola sepak
tanah air sehingga bakal mempamerkan aksi menarik dalam perlawanan akhir itu.
Kedua-dua pasukan yang pada
awalnya tidak diberi harapan untuk melangkah lebih jauh kerana berdepan
pasukan-pasukan handalan, telah mencipta kejutan layak buat pertama kali ke
perlawanan akhir selepas mengharungi pelbagai rintangan.
Perlis tidak diberi laluan mudah,
separuh akhir kedua dengan Sarawak di Kuching jelas menceritakan betapa Singa
Utara dipaksa menempuh laluan berduri akibat tindakan liar penonton.
Begitu juga, Negeri Sembilan yang
terpaksa menunggu selama beberapa hari sebelum disahkan menang 3-0 ke atas
Sabah dalam perlawanan separuh akhir kedua di Likas.
Bagaimanapun, kedua-dua insiden
tersebut sebenarnya memberi pengalaman luas kepada Perlis dan Negeri Sembilan
untuk menghadapi saingan lebih besar.
Perlis dan Negeri Sembilan ketika
ini daripada kelompok yang berbeza. Perlis turut memburu gelaran juara Perdana
Satu selepas hanya ketinggalan satu mata di belakang Perak dalam kedudukan
liga.
Negeri Sembilan pula bersaing
dalam Perdana Dua, berada di tangga kedua dengan 26 mata untuk memberi tekanan
ke atas pendahulu, Johor.
Namun, Negeri Sembilan kelihatan
memiliki kekuatan dari segi mental dan juga pengalaman. Dengan tiga pemainnya,
Norhafiz Zamani Misbah, K. Rajan, Shaiful Sabtu tersenarai dalam skuad
kebangsaan dan ditambah kehadiran bekas pemain antarabangsa iaitu Azman Adnan,
B. Rajnikandh, Azlisham Ibrahim dan Mohd. Aiman Wong yang pasti menguatkan
skuad Rusa.
Perlis pula memiliki barisan
serangan mantap yang diterajui oleh Phillimon Chipieta dari Zambia. Dan kini
dia mendapat gandingan baru, Liman Conte Jr. dari Sierra Leone yang
menggantikan Kelvin Masungu yang cedera.
Kehadiran Conte Jr. pasti
meresahkan jurulatih Rusa, K. Devan dan anak-anak buahnya yang tidak tahu
tentang kekuatan pemain berkenaan kerana tidak pernah melihat aksinya.
Mereka juga diterajui oleh bekas
ketua pasukan negara, Tengku Hazman Raja Hassan yang tahun lalu membantu
Selangor muncul juara Piala Malaysia.
``Saya bimbang terhadap semangat
juang pemain Perlis,'' kata Devan ketika ditemui di Stadium Perak semalam.
Sementara itu, kata jurulatih
Norizan Bakar, Perlis mahu menjadi juara kerana tidak pernah memenangi gelaran
dalam Liga Malaysia.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0531&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cxQ490r8
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan