Jumaat, 24 Mac 2017

Perak, P. Pinang ke akhir



 
RKIB : 07/08/2002
PENYERANG Kedah, Che Hishamuddin Hassan (hijau) diasak oleh pemain Pulau Pinang pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Seberang Perai semalam. Pulau Pinang menang 3-2. - Gambar SAHARUDDIN ABDULLAH.

Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM
PULAU Pinang bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk mara ke perlawanan akhir Piala FA bertemu Perak setelah menewaskan Kedah 3-2 pada perlawanan separuh akhir kedua yang berlarutan ke masa tambahan sudden death di Stadium Batu Kawan, Seberang Perai semalam.

Hasmawi Hassan muncul wira apabila menghasilkan gol kemenangan tuan rumah lima minit selepas masa tambahan dimulakan.

Kedua-dua pasukan yang seri 0-0 pada separuh akhir pertama mempamerkan aksi menarik dan mendebarkan melalui serangan-serangan yang mencemaskan kira-kira 20,000 penyokong sepanjang 95 minit perlawanan.

Kedah yang turun tanpa ayam tambatan, Akmal Rizal Rakhli dan Mohd. Rafdi Rashid yang masih dibelenggu kecederaan tetap bersemangat memulakan aksi.

Usaha mereka berjaya melalui sepakan deras Che Hishamuddin Hassan yang mengegarkan jaring tuan rumah pada minit ke-6.

Gol berpunca daripada hantaran lintang Diop ke depan gawang Harimau Kumbang sebelum berlaku pertembungan antara Liew Kit Kong dengan penjaga gol, Kamarulzaman Hassan yang menyebabkan boleh bergolek untuk disambar oleh Che Hishamudin.

Kesilapan pertahanan tuan rumah menjatuhkan pemain Kedah di luar kotak penalti memberikan peluang kepada anak buah Jorgen E. Larsen mendahului dengan dua gol.

Mohd. Shawal Johadi mengumpan cantik ke depan gawang Pulau Pinang sebelum ditanduk dengan penuh bergaya oleh Diop pada minit ke-26.

Pulau Pinang sebaliknya tetap bersemangat dan berhasil merapatkan jurang gol pada minit ke-47 menerusi Ooi Hoe Guan yang menggelecek tiga pertahanan Kedah sebelum menewaskan penjaga gol, Mazlan Wahid.

Gol itu seakan ramuan mujarab untuk rangkaian penyerang skuad Pulau Mutiara menambah jaringan di tambah pula dengan sorakan padu penyokong tuan rumah.

Akhirnya, ketenangan mengatur gerak membuahkan hasil buat Pulau Pinang pada minit ke-52 menerusi Romero.

Gol berpunca daripada hantaran lintang Zailani ke depan gawang Kedah sebelum berlaku pergelutan antara Ng Kok Heng dan penjaga gol Kenari.

Kesempatan itu diambil oleh Romero yang merembat kencang menggegarkan gawang gol.

Perlawanan terpaksa dilanjutkan ke masa tambahan sudden death setelah kedua-dua pasukan gagal mencari gol kemenangan.

Akhirnya Stadium Negeri menampakkan tuahnya apabila Pulau Pinang memperoleh jaring kemenangan hasil sentuhan menarik Hasmawi pada minit ke-95.

Hasmawi yang menerima hantaran S. Nantha Kumar melambungkan bola yang terkena tiang dan menggolek masuk ke dalam gawang Kedah sekali gus menghadiahkan mereka tiket ke perlawanan akhir.

PULAU PINANG: Kamarulzaman Hassan, Abdul Aziz Ismail, Nordin Kamis, Yong Woon Seang, Ooi Hoe Guan, Chee Wan Hoe, Ng Kok Heng, Zalaini Jaafar (S. Gopinanth), Chow Chee Weng, Hasmawi Hassan, Gustavo Alberto Romero.

KEDAH: Mazlan Abdul Wahid, A. Victor, Manzoor Azwira Abdul Wahid, Emmanuel Kopi Ampiah, Mohd. Rizal Harun, Zainudin Mohd. Ariffin (Nurhayat Elias), Liew Kit Kong, Matar Diop, Mohamad Syawal Johari, Shariman Che Omar, Che Hishamrudin Hassan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0807&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cF4xgzU9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan