Rabu, 16 November 2016

Kijang belum temui sentuhan

ARKIB : 18/03/1999
RUPA-rupanya dengan kehadiran bintang-bintang seperti Affendi Julaihi, Mohd. Nidzam Azhar dan Kamal Idris Ali masih tidak mampu lagi menceriakan kem skuad Kijang dalam mengharungi awal musim Liga Perdana tahun ini.

Malah dengan mengambil kira keputusan perlawanan kedua pusingan pertama Piala FA yang berkesudahan Kelantan tewas 0-1 di tangan Polis malam semalam, sudah cukup untuk membuat peminat-peminat Kijang menguap keletihan sebaik sahaja keluar stadium.

Reaksi awal tersebut digambarkan melalui prestasi hambar Kelantan yang pertama kali bermain di tempat sendiri musim ini diadun pula dengan sikap sambil lewa pemain ketika menghadapi lawan.

Mungkin pemain-pemain lebih suka mengambil jalan selamat setelah mendahului Polis 2-0 dari segi agregat, justeru kekalahan satu gol tidak akan menjejaskan kemaraan mereka ke pusingan seterusnya dalam kancah Piala FA.

Hakikatnya, jurulatih Mosthakeen Omar sebenarnya keresahan melihat gelagat anak-anak buahnya yang setakat ini belum menemui sentuhan walaupun di atas kertas mereka mampu meratah Polis di tempat dan penyokong sendiri.

Tetapi apa yang sebaliknya berlaku, Polis pula cuba mengajar Kelantan bagaimana bermain dengan baik di tempat lawan melalui permainan yang teratur dan bersungguh-sungguh walaupun tidak dibarisi dengan bintang.

Jika perlawanan malam tadi menjadi ukuran awal prestasi Kelantan, Mosthakeen sebenarnya tidak boleh berdiam diri dan perlu bertindak segera apatah lagi pasukan itu kini dikatakan berwajah dan mempunyai kekuatan baru berbanding pasukan musim lalu.

Jelas, pasukan itu setakat ini masih lagi ketandusan semangat dan taktikal, manakala barisan midfield dan jentera serangannya ketandusan idea serta ketidakmampuan membaca peluang.

Affendi nampak bijak mencium peluang, tetapi dalam masa yang sama Nidzam terkapai-kapai di hadapan kerana kurang sokongan daripada rakan-rakan sepasukan.

Mosthakeen sebenarnya kesuntukan masa untuk mencari keserasian di antara corak permainan Sarawak/Negeri Sembilan (Affendi), Nidzam (Kedah) dan Kelantan sendiri.

Tapi ini sebenarnya bukan satu halangan terutama dalam mengembalikan semula imej pasukan Kelantan yang terkenal dengan corak menyerangnya.

Medan seterusnya mengharungi Liga Perdana Dua menghadapi Johor FC, Jumaat yang sudah pasti menghamburkan cabaran yang lebih getir.

Oleh: LOKMAN OTHMAN

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0318&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4QANEAzsl © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan