ARKIB : 18/03/1999
RUPA-rupanya dengan kehadiran
bintang-bintang seperti Affendi Julaihi, Mohd. Nidzam Azhar dan Kamal Idris Ali
masih tidak mampu lagi menceriakan kem skuad Kijang dalam mengharungi awal
musim Liga Perdana tahun ini.
Malah dengan mengambil kira
keputusan perlawanan kedua pusingan pertama Piala FA yang berkesudahan Kelantan
tewas 0-1 di tangan Polis malam semalam, sudah cukup untuk membuat
peminat-peminat Kijang menguap keletihan sebaik sahaja keluar stadium.
Reaksi awal tersebut
digambarkan melalui prestasi hambar Kelantan yang pertama kali bermain di
tempat sendiri musim ini diadun pula dengan sikap sambil lewa pemain ketika
menghadapi lawan.
Mungkin pemain-pemain lebih
suka mengambil jalan selamat setelah mendahului Polis 2-0 dari segi agregat,
justeru kekalahan satu gol tidak akan menjejaskan kemaraan mereka ke pusingan
seterusnya dalam kancah Piala FA.
Hakikatnya, jurulatih
Mosthakeen Omar sebenarnya keresahan melihat gelagat anak-anak buahnya yang
setakat ini belum menemui sentuhan walaupun di atas kertas mereka mampu meratah
Polis di tempat dan penyokong sendiri.
Tetapi apa yang sebaliknya
berlaku, Polis pula cuba mengajar Kelantan bagaimana bermain dengan baik di
tempat lawan melalui permainan yang teratur dan bersungguh-sungguh walaupun
tidak dibarisi dengan bintang.
Jika perlawanan malam tadi
menjadi ukuran awal prestasi Kelantan, Mosthakeen sebenarnya tidak boleh
berdiam diri dan perlu bertindak segera apatah lagi pasukan itu kini dikatakan
berwajah dan mempunyai kekuatan baru berbanding pasukan musim lalu.
Jelas, pasukan itu setakat ini
masih lagi ketandusan semangat dan taktikal, manakala barisan midfield dan
jentera serangannya ketandusan idea serta ketidakmampuan membaca peluang.
Affendi nampak bijak mencium
peluang, tetapi dalam masa yang sama Nidzam terkapai-kapai di hadapan kerana
kurang sokongan daripada rakan-rakan sepasukan.
Mosthakeen sebenarnya
kesuntukan masa untuk mencari keserasian di antara corak permainan Sarawak/Negeri
Sembilan (Affendi), Nidzam (Kedah) dan Kelantan sendiri.
Tapi ini sebenarnya bukan satu
halangan terutama dalam mengembalikan semula imej pasukan Kelantan yang
terkenal dengan corak menyerangnya.
Medan seterusnya mengharungi
Liga Perdana Dua menghadapi Johor FC, Jumaat yang sudah pasti menghamburkan
cabaran yang lebih getir.
Oleh: LOKMAN OTHMAN
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0318&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4QANEAzsl
© Utusan Melayu (M) Bhd