KL buru bekalan selesa di Ipoh
Oleh MUHAMMAD HELMEE RAMLI
BARISAN pemain Kuala Lumpur sudah bersedia melakar kejutan pada aksi suku
akhir pertama Superbest Power Piala FA menentang Perak di Ipoh malam ini.
WALAUPUN tidak di label sebagai pasukan pilihan, tetapi skuad Kuala
Lumpur tetap mengintai peluang untuk melangkah lebih jauh pada kempen Superbest
Power Piala FA musim ini.
Malam ini, skuad warga kota akan turun membuat perhitungan dengan Perak
pada aksi suku akhir pertama di Stadium Perak, Ipoh dengan misi untuk mencari
bekalan selesa sebelum mengharungi suku akhir kedua nanti.
Sasaran tersebut tidak mustahil kerana sentuhan bekas jurulatih Sime
Darby, Ismail Zakaria ternyata mempunyai ‘magis’ tersendiri apabila masih
mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Premier setakat ini selain
mara ke suku akhir Piala FA.
Pemain sayap The Cityboys, Fahrul Razi Kamaruddin percaya dia dan rakan
sepasukan mampu membawa pasukan tersebut beraksi di pentas separuh akhir
berdasarkan aksi semasa yang cukup memberangsangkan.
Bagaimanapun, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu mengakui layak ke suku
akhir merupakan satu pencapaian yang cukup membanggakan ekoran mereka tidak
diletakkan sebarang harapan pada awal saingan.
“Untuk perlawanan Sabtu ini (malam ini), kami akan cuba buat yang terbaik
walaupun sedar Perak merupakan sebuah pasukan Liga Super. Memandangkan kami
sudah sampai ke tahap ini, kami sasar untuk layak ke separuh akhir.
“Sebenarnya, beraksi di suku akhir sudah membuatkan kami bangga dan
gembira kerana ia seolah-olah satu kejayaan buat kami, namun kami mahu mara
sejauh mungkin,” katanya ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.
Pemain berusia 30 tahun itu juga sedikit lega kerana mereka bakal turun
sebagai pasukan bukan pilihan sekali gus mengurangkan tekanan yang perlu
dipikul semua pemain.
“Menjadi pasukan bukan pilihan mungkin melegakan kami kerana mampu
mengurangkan tekanan. Oleh itu, kami boleh beraksi dengan lebih yakin kerana
kami perlu mencari bekalan gol untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur.
“Mungkin pemain-pemain muda tidak pernah beraksi pada perlawanan
sebegini, namun pemain-pemain senior akan membantu mereka sepanjang perlawanan.
Jadi, tidak ada masalah untuk kami bermain dengan baik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Kuala Lumpur terpaksa melupakan khidmat tiga pemain utama
termasuk pemain import, Mario Karlovic pada perlawanan malam ini akibat
kecederaan serta menjalani penggantungan perlawanan.
“Kehilangan Mario (Karlovic) amat dirasai kerana dia merupakan pemain
yang cukup kreatif, namun jurulatih (Ismail) sudah mengenal pasti pemain-pemain
yang akan memikul tanggungjawab tersebut,” jelasnya lagi.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0319&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz43JXyf6FE
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan