Isnin, 25 Ogos 2014

Slot ke suku akhir jadi buruan

PELUANG pasukan Sime Darby untuk melangkah ke suku akhir boleh dianggap sudah tertutup ekoran aksi hambar pada pusingan pertama.
Advertisement

PUSINGAN kedua perlawanan peringkat kumpulan kempen Piala Malaysia 2014 bermula malam ini.

Empat perlawanan bakal berlangsung membabitkan Lions XII akan turun membuat perhitungan dengan Johor Darul Takzim (Johor DT) II di Stadium Jalan Besar Singapura dalam saingan Kumpulan A manakala Felda United akan turun menentang Pahang di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Dua aksi peringkat Kumpulan C pula akan menemukan Johor Darul Takzim (Johor DT) dengan Pulau Pinang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin, manakala Kelantan akan berdepan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Empat lagi perlawanan membabitkan pasukan-pasukan dalam Kumpulan C dan D akan berlangsung malam esok.

Selepas selesai tiga perlawanan pusingan pertama pada Sabtu lalu, pasukan underdog, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat berada dalam kelas tersendiri.

Skuad bimbingan Fauzi Pilus itu telah memungut sembilan mata maksimum menerusi tiga kemenangan dalam perlawanan pusingan pertama.

Skuad yang pernah dibimbing jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh itu telah memperlihatkan aksi konsisten dan boleh dianggap pasukan pilihan pada kempen kali ini.

Walaupun masih terlalu awal untuk meramalkan nasib mereka, tetapi berdasarkan prestasi terkini, peluang PDRM untuk melangkah jauh adalah cerah.

Satu kemenangan sudah cukup untuk membawa mereka ke pusingan suku akhir walaupun perebutan kini turut melibatkan Selangor serta T-Team.

Namun, Selangor dilihat berpeluang kerana skuad Gergasi Merah itu kini berada di tangga kedua Kumpulan D dengan enam mata.

Berdasarkan jumlah jaringan selepas mengharungi tiga perlawanan pada pusingan pertama, PDRM juga memiliki kelebihan.

Mereka telah menghasilkan sembilan gol dan bolos satu.

Ia juga membuktikan jentera pertahanan mereka juga cukup kental untuk menyekat kemaraan penyerang pasukan lawan.

Boleh dikatakan, barisan penggempur PDRM cukup garang dan telah menjaringkan purata tiga gol dalam setiap perlawanan.

Penyerang import PDRM, Ashfaq Ali sememangnya peledak yang amat berbisa dan tugasnya untuk menggegar gawang lawan dilihat mudah dengan bantuan yang disumbangkan oleh Bobby Gonzales mahupun Mohamadou Sumareh.

Seorang lagi pemain import mereka, Chad Charles Souza juga memiliki tindakan penyudah yang cukup kemas.

Esok, PDRM akan membuat perhitungan dengan T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu.

Satu lagi pasukan yang harus diawasi pada kempen Piala Malaysia kali ini ialah Felda United yang juga finalis Piala FA musim ini.

Felda United yang dibimbing Irfan Bakti Abu Salim kini menerajui Kumpulan A dengan tujuh mata, memiliki kelebihan satu mata di hadapan juara bertahan, Pahang.

Malam ini, mereka akan sekali lagi beradu tenaga di Selayang dan sudah pastinya Felda United mahu meneruskan momentum cemerlang seperti yang mereka buktikan pada perlawanan ketiga peringkat Kumpulan A menentang pasukan yang sama di Kuantan pada Sabtu lalu yang menyaksikan anak-anak buah Irfan Bakti meraih kemenangan 3-2.

Pasukan yang dibarisi beberapa pemain berpengalaman seperti Shukor Adan serta Indra Putra Mahayuddin itu turut memiliki sentuhan penyudah yang hebat apabila menjadi pasukan kedua terbanyak menghasilkan gol pada aksi pusingan pertama.

Enam gol telah mereka hasilkan, namun jentera pertahanan dilihat goyah apabila melepaskan empat gol.

Begitupun, Irfan Bakti tidak mahu berisan pemainnya berasa selesa, sebaliknya terus bekerja keras untuk meraih kemenangan.

Dia turut mengingatkan para pemainnya agar berhati-hati kerana Pahang sudah pasti kana bangkit untuk melunaskan dendam terhadap kekalahan pada perlawanan di Kuantan, Sabtu lalu.

"Walaupun bermain di gelanggang sendiri, tetapi kami harus berhati-hati. Kami perlu fokus sepanjang perlawanan tersebut jika berhasrat meraih kemenangan," jelas Irfan Bakti.

Perlawanan antara Pahang dengan Felda United ini pasti menjadi tumpuan kerana kedua-duanya perlu menang bagi mencerahkan peluang melangkah ke suku akhir.

Dalam Kumpulan B pula, Perak dan Terengganu yang terikat dengan enam mata dilihat pasukan pilihan, tetapi tetap perlu berhati-hati ekoran kebangkitan Kedah yang melakar kejutan menewaskan Sarawak di Kuching pada Sabtu lepas.

Johor DT dan Kelantan juga merupakan dua pasukan yang diramal mampu melepasi saingan peringkat kumpulan.

Peluang Sime Darby untuk melangkah jauh pada kempen kali ini sudah tertutup kerana mereka masih gagal meraih sebarang mata.

SUMBER-KOSMO ONLINE 26.8.14

Tiada ulasan:

Catat Ulasan