Ahad, 1 Jun 2014

Keazaman tinggi dorong Tok Gajah

ROSILAWATI ROSEDI
1 Jun 2014
Luciano Figueroa (JDT, kanan) dan Matias Conti (Pahang) cuba menanduk bola pada aksi separuh akhir kedua di Kuantan. - Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI
Luciano Figueroa (JDT, kanan) dan Matias Conti (Pahang) cuba menanduk bola pada aksi separuh akhir kedua di Kuantan. - Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI Luciano Figueroa (JDT, kanan) dan Matias Conti (Pahang) cuba menanduk bola pada aksi separuh akhir kedua di Kuantan. - Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI

KERJA keras dan bermain satu pasukan menjadi formula kejayaan skuad Tok Gajah melangkah ke pentas final Piala FA 2014 selepas menundukkan Johor Darul Ta'zim (JDT), 1-0 di Stadium Darul Makmur, malam kelmarin.

Pada saingan separuh akhir kedua itu, skuad kendalian Zainal Abidin Hassan mara ke perlawanan akhir akhir dengan agregat 2-1 sekali gus menebus kehampaan musim lalu di tangan lawan sama.

Zainal memberitahu, pemain mempamerkan komitmen dan keazaman tinggi untuk melakar kejayaan di hadapan penyokong sendiri.

“Walaupun skuad ini dikatakan tempang kerana ketiadaan tiga tonggak utama, namun mereka (pemain) buktikan kesungguhan dan bekerja keras hingga mampu menebus duka musim lalu.

“Saya bangga dan gembira dengan komitmen mereka walaupun sebelum ini sedikit gusar apatah lagi dua pertemuan menentang Selangor dan Terengganu tidak memihak Pahang,” katanya.

Bekas pemain kebangsaan itu memberitahu, pemain berjaya menyerap tekanan dan tidak terikut-ikut dengan rentak Harimau Selatan.

Menurutnya lagi, pemain juga mampu mengawal permainan dan berusaha keras khususnya pada babak kedua sehingga berjaya membolosi gawang lawan.

“Saya berterima kasih kepada pemain dan mengharapkan mereka mempamerkan aksi terbaik apabila beraksi di pentas final nanti,” katanya.

SINAR HARIAN ONLINE 1.6.14

Tiada ulasan:

Catat Ulasan