Jumaat, 30 Mei 2014

Felda mahu pastikan Kelantan merana

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my
 
IRFAN berharap agar pemainnya selesaikan urusan dengan Kelantan dalam tempoh 90 minit.

PASUKAN berstatus kelab, Felda United hanya selangkah untuk mara ke pentas final Piala FA buat kali pertama ketika melayan kunjungan juara bertahan, Kelantan dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam, malam ini.

Atas kertas, skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim memiliki kelebihan berdasarkan peraturan gol di tempat lawan apabila berjaya mengikat The Red Warriors seri 3-3 di Kota Bharu awal bulan ini.

Justeru, beliau optimis skuad kendaliannya mampu menjinakkan Kelantan sekali gus mara ke pentas final buat kali pertama, selain percaya pemenang malam ini juga bakal ditentukan dalam tempoh 90 minit masa sebenar permainan.

"Kami memiliki kelebihan dua gol di tempat lawan, jadi saya optimis perlawanan ini tidak akan diheret ke masa tambahan.

"Keputusan seri 1-1 dan 2-2 mungkin boleh berlaku (malam ini), tetapi agak mustahil perlawanan itu bakal berakhir dengan keputusan seri 3-3 sehingga memaksa perlawanan dilanjutkan mahupun ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

"Jadi, saya berharap para pemain mampu menamatkan cabaran Kelantan dalam tempoh 90 minit masa sebenar perlawanan," katanya kepada Kosmo! semalam.

Irfan juga kekal tenang dan mahu barisan pemain The Settlers beraksi tanpa sebarang tekanan biarpun menjangkakan serangan bertali-arus yang bakal dilancarkan pasukan pelawat malam ini.

"Sudah tentu Kelantan akan menyerang habis-habisan bagi memburu gol awal.

"Cuma harus diingat, kami juga tidak akan bertahan sepanjang masa.

"Justeru, saya harap pemain dapat memburu gol awal sekali gus mengurangkan sebarang tekanan untuk mara ke final," katanya.

Irfan berkata, ketiadaan dua tonggak utama The Settlers, Shahrulnizam Mustapha dan Zah Rahan Krangar ekoran kecederaan lutut dan penggantungan kad kuning kedua juga tidak menjejaskan percaturan beliau kali ini.

"Saya masih memiliki pemain berkualiti seperti Shukor Adan yang mampu menguasai jentera tengah dengan berkesan.

"Soal sama ada bertemu Pahang mahupun Johor Darul Takzim juga bukan menjadi keutamaan kami buat masa ini, sebaliknya kami harus menewaskan Kelantan terlebih dahulu sebelum mencongak siapa lawan di final kelak," jelas beliau.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com. 31.5.14

Tiada ulasan:

Catat Ulasan