28 Ogos 2013
KUALA LUMPUR - Pasukan
berstatus kelab, Selangor PKNS FC semakin menghampiri slot ke suku akhir Piala
Malaysia selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Felda United FC dalam saingan
Kumpulan B di Stadium Shah Alam, malam ini.
Kemenangan ketiga berturut-turut
pasukan bimbingan Abdul Rahman Ibrahim itu membolehkan mereka terus mengekalkan
kedudukan di tangga teratas Kumpulan B dengan sembilan mata penuh.
Penyerang import dari Liberia
Patrick Ronaldinho Wleh muncul wira pasukan tuan rumah apabila menjaringkan
kedua-dua gol pada minit ke-35 dan 51.
Dalam satu lagi aksi kumpulan
B, Johor Darul Takzim (Johor DT) mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas T-Team
pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Tiga gol skuad 'Harimau
Selatan' dijaring oleh Mohd Hadin Azman pada minit ke-23, Mohd Safee Sali (27')
dan Norshahrul Idlan Talaha (63')
manakala dua gol skuad 'The Titans' disumbang Ahmad Syamim Yahya pada minit
ke-48 dan pemain gantian, Fauzan Abdullah (77').
Terdahulu, T-Team terpaksa
beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-74 selepas Mohd Saiful Mustapa
dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan Syed Azahar Syed Kamar kerana
mengasari Mohd Hadin.
Dalam saingan Kumpulan A, Sime
Darby FC mencipta kejutan selepas menewaskan juara 32 kali, Selangor, menerusi
kemenangan 3-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Tiga gol skuad bimbingan Ismail
Zakaria itu dijaringkan Karlo Primorac pada minit ke-22 dan 29, serta Fazrul
Hazli Mohd Kadri pada minit ke-72.
Satu lagi wakil dalam Kumpulan
A, Johor FA pula hanya mampu mengutip satu mata selepas terikat 3-3 menentang
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.
Tiga gol pasukan Selatan tanah
air itu dijaring oleh Mohd Ezaidy Mohd Khadar pada minit ke-42, Md Farid Ideris
(48') dan Muhd Hairul Nizam Haniff (80') manakala ATM memperoleh gol menerusi
jaringan Muhd Shukor Adan pada minit ke-53 dan Marlon Alex James pada minit
ke-73 dan 78.
Dalam saingan Kumpulan D, Perak
menundukkan pasukan jemputan dari Singapura, Lions XII yang merupakan juara
Liga Super hasil gol tunggal Azlan Ismail pada minit kelapan perlawanan dalam
aksi di Stadium Perak, Ipoh.
Kedah dan Sarawak pula hanya
mampu mengutip satu mata selepas mencatat keputusan seri tanpa jaringan pada
satu lagi aksi Kumpulan D di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Sementara itu, juara bertahan
Piala Malaysia Kelantan mempersiakan peluang mengutip tiga mata selepas sekadar
terikat 1-1 menentang Negeri Sembilan dalam saingan Kumpulan C di Stadium
Tuanku Abdul Rahman Paroi.
Mereka bagaimanapun berada di
depan menerusi jaringan penyerang import dari Nigeria, Dickson Nwakaeme pada
minit ke-39 sebelum Fabio Leandro Barbosa menyelamatkan maruah pasukan tuan
rumah menerusi gol penyamaan pada minit ke-59.
Satu lagi perlawanan Kumpulan C
menyaksikan Pahang turut berkongsi mata selepas sekadar terikat 1-1 ketika
melayan jiran mereka, Terengganu di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Skuad Tok Gajah dikejutkan
dengan jaringan pembukaan penyerang Terengganu Mohd Ashaari Shamsuddin seawal
minit ketujuh sebelum berjaya menyamakan kedudukan enam minit kemudian menerusi
gol penyerang import dari Argentina
Matias Ruben Conti. - Bernama
SUMBER: SINAR HARIAN ONLINE 28 Ogos 2013